KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pasukan siasatan ke Jepun bagi menyiasat penahanan lima rakyat Malaysia yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan lima kilogram kokain di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, pada 10 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan itu bertujuan mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes berkenaan, termasuk kemungkinan penglibatan rangkaian sindiket dadah tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata, pihak berkuasa Jepun turut menyiasat sumber bekalan kokain serta mengenal pasti individu yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan itu.
Menurutnya, JSJN dimaklumkan bahawa dua lelaki dan tiga wanita warga Malaysia ditahan selepas pihak Kastam Jepun menemukan lima kilogram kokain yang disembunyikan dalam pelapik kasut yang dipakai mereka.
Penahanan itu sekali gus membetulkan laporan awal media yang menyatakan empat lelaki dan seorang wanita ditahan dalam kes berkenaan.
Semakan rekod perjalanan mendapati enam rakyat Malaysia berusia antara 19 hingga 26 tahun berlepas bersama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ke Tokyo pada 9 Oktober lalu untuk bercuti.
Bagaimanapun, hanya lima daripada mereka ditahan di Jepun, manakala seorang lagi tidak ditahan dan telah pulang ke Malaysia.
Hussein berkata, kesemua enam individu itu sudah dikenal pasti, dengan lima daripada mereka berasal dari Sarawak. Semakan juga mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pelawaan melancong ke luar negara, terutama jika diminta membawa beg atau barangan milik orang lain.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menerima atau membawa barangan yang tidak diketahui kandungannya bagi mengelakkan diri daripada dipergunakan sebagai keldai dadah.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh disalurkan kepada talian hotline JSJN di 012-208 7222.










