KUALA LUMPUR: Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa tindakan Bersatu yang didakwa mengadakan perbincangan dengan pihak lain tanpa melibatkan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah membuka ruang untuk parti itu keluar daripada gabungan berkenaan dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, perkembangan itu termasuk usaha Bersatu mendapatkan sokongan bagi menyokong kerajaan Selangor, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai komitmen parti itu terhadap PN.
“Bila timbul soalan mengatakan Bersatu sudah pun mahu berbincang dengan PH, saya rasa ada kebenarannya.
“Seolah-olah mereka mengikut peraturan yang telah disusun. Pertama, lakukan ini, kedua, lakukan ini, ketiga dan akhirnya itulah keputusan yang mereka buat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya media selepas prosiding permohonan semakan kehakiman PN di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Mahkamah membenarkan permohonan PN untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar notis serta perintah penggantungan kegiatan gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Bagaimanapun, permohonan PN untuk mendapatkan perintah penangguhan sementara terhadap penggantungan berkenaan belum dibenarkan dan ditetapkan untuk pendengaran kedua-dua pihak pada 22 Oktober ini.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, tindakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan meminta penjelasan daripada Bersatu berhubung persoalan korum mesyuarat parti itu adalah konsisten dengan pendekatan yang pernah diambil sebelum ini.
Menurutnya, perkara sama pernah berlaku apabila timbul isu membabitkan MIPP sehingga Takiyuddin menghantar surat kepada presiden parti itu bagi memaklumkan kemungkinan tindakan terhadap PN.
Beliau berkata, MIPP kemudiannya digantung daripada menghadiri mesyuarat gabungan berkenaan.
Hamzah turut menjelaskan bahawa persoalan mengenai korum mesyuarat Bersatu dibangkitkan oleh pihak dalam parti itu sendiri, termasuk kemungkinan ia menjejaskan kesahan keputusan mesyuarat.
Katanya, Takiyuddin kemudian menghantar surat kepada Setiausaha Agung Bersatu untuk mendapatkan penjelasan, namun persoalan berkenaan didakwa tidak dijawab sehingga RoS mengeluarkan surat penggantungan terhadap PN.
Beliau turut mempersoalkan perbezaan pendirian RoS apabila agensi itu dikatakan tidak mahu campur tangan dalam isu yang dibangkitkan ahli Parlimen Bersatu berdasarkan Artikel 18C, tetapi mengambil tindakan terhadap PN.
“Yang kita mempersoalkan hari ini adalah jawapan yang diberikan oleh RoS kepada ahli-ahli Parlimen Bersatu apabila mereka tidak mahu masuk campur atas Artikel 18C.
“Manakala apabila kita mempersoalkan tentang kita, mereka kata mereka boleh mengambil tindakan. Itu yang menyebabkan timbul persoalan sama ada ini keputusan politik,” katanya.
Hamzah mendakwa tindakan penggantungan PN bermotifkan politik dan bertujuan menyukarkan kepimpinan gabungan berkenaan.
Beliau berkata, perkembangan itu akan membuka mata rakyat untuk menilai keadaan politik semasa, selain mendakwa kepimpinan PN ketika ini mendapat sokongan popular dalam kalangan rakyat.










