KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memberi bayangan sudah hampir memuktamadkan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dengan rundingan bersama pihak berkenaan kini mencapai tahap persefahaman 90 peratus.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata baki rundingan dijangka diselesaikan dalam masa terdekat, namun menegaskan BN hanya mahu bekerjasama dengan parti yang benar-benar ikhlas dan boleh dipercayai.
Beliau memberi peringatan supaya hubungan politik yang dibina atas dasar kerjasama tidak dicemari tindakan menikam rakan dari belakang atau menggunakan tekanan yang tidak wajar.
“Bila berkawan, kena kawan betul-betul. Jangan kawan tikam kawan. Jangan kawan di depan, tetapi belakangnya diintimidasi dengan pelbagai cara yang tidak sewajarnya kita dalam keadaan berkawan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup dan penyampaian hadiah Program Siri Jelajah MRSM dan Media Prima: MRSM Bintang Media 2026 di Balai Berita, hari ini.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi enggan mendedahkan identiti parti yang sedang berunding dengan BN, sebaliknya hanya menyifatkannya sebagai pihak yang boleh dianggap sebagai rakan sebenar.
Menurutnya, kerangka asas kerjasama sudah dipersetujui dan kepimpinan BN akan memuktamadkan rundingan berkenaan dalam tempoh terdekat.
Dalam perkembangan berkaitan, BN setakat ini berhasrat mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya sebelum ini, manakala rundingan bagi tujuh kerusi lagi masih berjalan, termasuk kemungkinan pertukaran kerusi.
Asyraf Wajdi berkata rundingan itu berlangsung secara konstruktif dengan kedua-dua pihak menunjukkan kesediaan untuk bertolak ansur demi mencapai persetujuan bersama.
Beliau turut menegaskan hasrat rakyat untuk melihat perpaduan ummah, khususnya membabitkan dua parti politik terbesar Melayu, perlu diberikan perhatian dan diterjemahkan melalui kerjasama yang mampu bertahan.
Katanya, komitmen terhadap persefahaman itu penting bagi memastikan kerjasama politik bukan sekadar dicapai menjelang pilihan raya, sebaliknya berasaskan kepercayaan dan kesediaan menghormati rakan masing-masing.










