KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bagi memastikan gabungan itu kekal sebagai pilihan kepada 687,697 pengundi berdaftar di Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Peguam yang mewakili PN, Rafique Rashid Ali berkata, tindakan itu bukan semata-mata untuk kepentingan gabungan berkenaan, sebaliknya bagi mempertahankan hak pengundi untuk memilih calon dan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya.
Beliau berkata, penggantungan kegiatan PN memberi kesan besar terhadap keupayaan gabungan itu untuk menjalankan aktiviti politik, termasuk membuat persediaan menghadapi PRN Melaka.
“Perikatan Nasional tidak membawa tindakan ini untuk Perikatan Nasional sahaja, tetapi untuk meletakkan PN sebagai salah satu pilihan yang wajar bagi pengundi berdaftar di Melaka.
“Walaupun apa jua yang dikatakan di luar, menggantung sebuah parti politik dari segi undang-undang dan perlembagaan seolah-olah membunuh parti politik tersebut kerana kita tidak boleh melakukan sebarang aktiviti langsung, kecuali membincangkan penggantungan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan reaksi selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan PN untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar notis serta perintah penggantungan kegiatan gabungan itu oleh RoS.
Bagaimanapun, mahkamah belum membenarkan permohonan PN untuk mendapatkan perintah penangguhan sementara terhadap keputusan RoS berkenaan.
Rafique berkata, keputusan membenarkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu menunjukkan terdapat isu yang boleh dihujahkan dengan lebih lanjut di mahkamah.
Menurutnya, hakim turut menyatakan isu berkenaan perlu dihujahkan secara substantif bagi menentukan kesahihan keputusan yang dipertikaikan.
“Maknanya, terdapat isu yang perlu dihujahkan pada tahap lebih tinggi dan lebih penting. Ini bukannya satu permohonan yang sia-sia, bukan permohonan main-main atau yang boleh ditolak begitu sahaja,” katanya.
Beliau berkata, PN akan kembali ke mahkamah pada 22 Oktober ini bagi meneruskan pendengaran permohonan penangguhan sementara berkenaan.
Katanya, tarikh itu amat penting memandangkan penamaan calon PRN Melaka dijadualkan pada 31 Oktober ini, sekali gus menjadikan tempoh persediaan sebagai perkara mendesak bagi gabungan berkenaan.
Rafique berkata, PN perlu diberikan peluang untuk membuat persediaan dan mengambil bahagian dalam proses pilihan raya sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi.
Beliau turut menegaskan bahawa PN merupakan gabungan politik berdaftar yang mempunyai wakil di Parlimen serta membentuk kerajaan di beberapa negeri.
Sehubungan itu, katanya, tindakan undang-undang berkenaan perlu bagi mendapatkan penjelasan mengenai skop kuasa RoS dan kesan penggantungan terhadap keupayaan PN menyertai pilihan raya.
Dalam pada itu, mahkamah menetapkan prosiding seterusnya pada 22 Oktober ini bagi mendengar permohonan penangguhan sementara secara inter partes, iaitu dengan kehadiran dan hujahan kedua-dua pihak.
Mahkamah turut menetapkan jadual pemfailan afidavit dan hujahan bagi memastikan prosiding berkenaan dapat diselesaikan mengikut tempoh ditetapkan menjelang penamaan calon PRN Melaka.
Hadir sama pada prosiding itu ialah Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, serta Pengerusi PN yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.










