KUALA LUMPUR: Penganjuran Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) edisi ke-59 merekodkan anggaran nilai jualan pakej pelancongan domestik sebanyak RM37 juta, sekali gus berpotensi merancakkan ekonomi tempatan dan memberi manfaat kepada pemain industri pelancongan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, MATTA Fair merupakan inisiatif sektor swasta anjuran Malaysian Association of Tour and Travel Agents (MATTA) yang menghimpunkan pelbagai pemain industri, termasuk agensi pelancongan, pengusaha hotel, pemilik produk pelancongan dan penyedia perkhidmatan pengangkutan.
Menurutnya, penganjuran acara itu menyediakan platform promosi dan jualan yang dapat merangsang aktiviti perniagaan, meningkatkan permintaan terhadap produk pelancongan serta menjana pendapatan pemain industri.
“Jualan ini berpotensi memberi manfaat kepada pengusaha hotel, pengangkutan, makanan dan minuman serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Pekan) yang meminta penjelasan mengenai pulangan penganjuran MATTA Fair kepada industri pelancongan dan ekonomi tempatan, berbanding risiko menggalakkan aliran keluar perbelanjaan rakyat ke luar negara.
Mengulas usaha memperkukuh pelancongan domestik, Tiong berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Tourism Malaysia akan terus bekerjasama dengan MATTA bagi mempromosikan destinasi dan produk pelancongan tempatan.
Katanya, usaha itu merangkumi peluasan promosi kepada pengguna atau Business-to-Consumer (B2C), penganjuran sesi padanan perniagaan atau Business-to-Business (B2B), selain meneliti cadangan untuk memanjangkan tempoh penganjuran MATTA Fair.
“Langkah ini bertujuan meningkatkan jualan produk tempatan dan memberi lebih banyak peluang perniagaan kepada pemain industri serta komuniti setempat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MOTAC turut menekankan pematuhan terhadap perundangan dan syarat pelesenan yang berkuat kuasa bagi memastikan pakej pelancongan yang ditawarkan kepada pengguna bersifat telus, berkualiti dan memberikan nilai sebenar.
Menurutnya, maklumat berkaitan harga, skop perkhidmatan, kemudahan yang disediakan serta terma dan syarat pakej perlu dinyatakan dengan jelas supaya pengguna dapat membuat perbandingan dan keputusan pembelian secara termaklum.
Pengguna juga digalakkan mendapatkan perkhidmatan daripada agensi pelancongan berlesen serta menyemak butiran pakej sebelum membuat pembayaran bagi mengelakkan masalah yang boleh menjejaskan pengalaman perjalanan mereka.
Tiong berkata, kerajaan akan terus menggalakkan pertumbuhan pelancongan domestik, pelancongan masuk (inbound) dan pelancongan keluar (outbound) secara seimbang.
“Penekanan akan diberikan kepada peningkatan perbelanjaan pelancongan dalam negara bagi memperkukuh produk tempatan serta menjana peluang perniagaan dan pekerjaan.
“Usaha ini juga memastikan manfaat ekonomi dinikmati oleh pemain industri dan komuniti tempatan, di samping melindungi kepentingan pengguna,” katanya.










