BN Perlu Jelaskan Polemik Tuanku Muhriz Sebelum Penamaan Calon PRN Melaka

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu segera memperjelaskan polemik kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bagi mengelakkan salah faham menjejaskan peluang gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata penjelasan menyeluruh perlu diberikan kepada rakyat sebelum proses penamaan calon bermula, khususnya bagi memperbetulkan tanggapan bahawa UMNO terbabit dalam usaha menurunkan Tuanku Muhriz.

Beliau berkata, perbezaan antara proklamasi dan pemecatan juga perlu diterangkan dengan jelas supaya orang ramai memahami prosedur berkenaan dan tidak membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang mengelirukan.

“Kena terangkan, beritahu rakyat mengenai pihak yang mahu membuat pemecatan Tuanku Muhriz ini sebenarnya bukan UMNO. Kena terangkan baik-baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bayu Seafood by White N Black, hari ini, ketika diminta mengulas kemungkinan polemik berkenaan menjejaskan peluang BN pada PRN Melaka yang dijadualkan bermula 31 Oktober ini.

Pada 17 September lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dilaporkan mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz selepas keputusan itu dikatakan dibuat sebulat suara oleh ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 15 September.

Susulan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri diminta melaksanakan pewartaan proses berkenaan mengikut peraturan sedia ada.

Kenyataan yang dikeluarkan atas nama Barisan Ahli MMK turut menyebut proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, yang didakwa dibuat mengikut Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Sementara itu, Johari berkata senarai calon BN bagi PRN Melaka akan dimuktamadkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan bantuan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Katanya, Ab Rauf lebih mengetahui calon yang sesuai diketengahkan dan akan berhubung secara langsung dengan Ahmad Zahid berhubung perkara itu.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, pemilihan calon perlu mengambil kira kesesuaian mereka untuk mewakili BN dalam pilihan raya berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles