KUALA LUMPUR: Tindakan seorang wanita melahirkan bayi di dalam tandas sebuah terminal pengangkutan awam sebelum mayat bayi itu dibuang ke dalam tong sampah akhirnya membawa kepada penahanan dirinya dan teman lelaki oleh polis.
Kedua-dua suspek berusia 21 tahun itu diberkas di Sepang pada Jumaat lalu selepas siasatan dijalankan susulan penemuan mayat seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di dalam tandas wanita di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Lim Chun How berkata, pihak polis menerima laporan berhubung penemuan bayi yang dibungkus dalam beg plastik berwarna biru di aras tiga terminal berkenaan pada 9 Jun lalu.
Menurutnya, hasil gerakan dan siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya membawa kepada penahanan pasangan terbabit bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu. Wanita berkenaan dipercayai melahirkan bayi tersebut di dalam tandas sebelum bertindak membuangnya ke dalam tong sampah.
“Tindakan itu dipercayai dilakukan kerana dia bimbang akan dimarahi ahli keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang dilaporkan tidak mempunyai pekerjaan kini direman selama empat hari bermula 13 Jun sehingga 16 Jun bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit.










