PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan tempoh tiga bulan kepada pihak pendakwaan untuk menyerahkan notis rayuan secara peribadi kepada Muhammed Yusoff Rawther yang kini berada di United Kingdom (UK), sebelum rayuan terhadap pembebasannya dapat diteruskan.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah menegaskan bahawa keperluan tersebut mesti dipatuhi selaras dengan Seksyen 314 Kanun Prosedur Jenayah, yang mensyaratkan notis rayuan disampaikan sendiri kepada responden sebelum sesuatu rayuan boleh didengar.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula bagi mendapatkan perkembangan mengenai usaha penyerahan notis tersebut, sebelum memutuskan sama ada rayuan berkenaan boleh diteruskan atau sebaliknya.
Datuk Azman, yang bersidang bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan K. Muniandy, berkata mahkamah perlu diyakinkan bahawa segala usaha munasabah telah dilakukan bagi menyampaikan notis rayuan kepada Muhammed Yusoff yang dilaporkan menetap di UK sejak tahun lalu.
Menurut beliau, panel turut mengambil maklum surat yang dikemukakan responden berhubung permohonan suaka hak asasi manusia di negara itu, selain pasportnya kini berada dalam simpanan pihak berkuasa UK sebagai sebahagian daripada proses permohonan berkenaan.
“Cadangan pihak pendakwaan supaya prosiding rayuan dijalankan secara dalam talian melalui Zoom tidak mencukupi. Notis rayuan perlu diserahkan secara persendirian terlebih dahulu sebelum mahkamah mempertimbangkan langkah seterusnya,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah memaklumkan bahawa usaha menyerahkan notis rayuan masih gagal kerana rekod Jabatan Imigresen menunjukkan Muhammed Yusoff telah meninggalkan Malaysia sejak tahun lalu dan tidak pernah direkodkan masuk semula ke negara ini.
Beliau berkata, percubaan untuk menyerahkan notis berkenaan dibuat dua minggu lalu, namun dimaklumkan bahawa responden berada di luar negara sejak tahun lepas.
Pendakwaan turut menyatakan hasrat untuk meneruskan rayuan walaupun tanpa kehadiran Muhammed Yusoff, dengan merujuk kepada kes terdahulu melibatkan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar.
Bagaimanapun, panel hakim membangkitkan persoalan mengenai implikasi sekiranya rayuan dibenarkan dan responden diarahkan membela diri, sedangkan beliau tidak berada di Malaysia serta enggan pulang ke negara ini.
Menjawab perkara itu, Mohd Asnawi berkata mahkamah mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah tahanan atau menggunakan saluran diplomatik bagi membolehkan kehadiran responden diperoleh jika diperlukan pada peringkat seterusnya.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff mengesahkan anak guamnya mengetahui kewujudan rayuan tersebut sejak ia difailkan pada 16 Jun tahun lalu, namun tidak pernah menerima notis rayuan secara fizikal.
Menurut beliau, Muhammed Yusoff hanya dimaklumkan pada 1 Jun lalu bahawa beliau tidak dapat kembali ke Malaysia kerana pasportnya masih berada dalam pegangan kerajaan UK.
“Dalam keadaan sekarang, adalah mustahil untuk beliau pulang ke Malaysia walaupun menyedari rayuan terhadap pembebasannya sedang berlangsung,” katanya.
Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang pada 12 Jun tahun lalu membebaskan Muhammed Yusoff daripada pertuduhan mengedar 305 gram kanabis dan memiliki dua pistol tiruan tanpa dipanggil membela diri.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika itu memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.
Muhammed Yusoff sebelum ini didakwa mengedar kanabis seberat 305 gram dalam sebuah kenderaan berhampiran Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 6 September 2024. Pertuduhan itu membawa hukuman penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Beliau turut berdepan pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di kawasan Jalan Bukit Kiara pada hari yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM5,000, atau kedua-duanya sekali.










