​’Musim PRN Mungkin Sibuk, Ada Benda Terlupa’ – Anthony ‘Refresh’ Ingatan Onn Hafiz

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, ‘mengingatkan’ semula Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengenai siri kehadiran dan pembabitan Kerajaan Negeri Johor dalam majlis-majlis rasmi anjuran Kementerian Pengangkutan (MOT) sebelum ini.

​Maklum balas itu hadir susulan kenyataan terbuka Onn Hafiz yang mendakwa beliau tidak dijemput ke majlis berkaitan projek Kereta Api Tanah Melayu (KTM) Komuter Selatan di negeri itu.

​Loke berkata, beliau memahami kesibukan Onn Hafiz yang kini berdepan musim Pilihan Raya Negeri (PRN), selain menjelaskan terdapat perbezaan antara lawatan kerja biasa dan majlis rasmi.

​”Terima kasih YAB Dato’ Onn Hafiz atas kenyataan balas yang begitu panjang lebar dan kesudian YAB menerima jemputan saya untuk menaiki KTM Komuter Selatan.

​”Saya faham musim pilihan raya memang sibuk. Mungkin ada benda yang terlupa. Lagipun, ada perbezaan antara lawatan kerja dengan majlis rasmi. Kalau setakat lawatan kerja saya, saya tidak mahu mengganggu masa YAB MB,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya, hari ini.

​Sebelum ini, Onn Hafiz dilaporkan meluahkan rasa terkilan kerana mendakwa tidak dimaklumkan atau dijemput dalam beberapa program turun padang oleh MOT yang melibatkan projek pengangkutan rel utama di Johor.

​Mengulas lanjut, Loke turut menyenaraikan kronologi beberapa majlis besar anjuran MOT yang dihadiri sendiri oleh Onn Hafiz atau wakil Exco Kerajaan Negeri sepanjang tahun 2024 hingga 2026.

​Antaranya termasuklah Majlis Projek Sistem Transit Cepat (RTS) Link pada Januari 2024 dan Jun 2025, Pelancaran Khas ETS3 di Stesen KTM Kluang oleh Yang di-Pertuan Agong pada Ogos 2025, serta Majlis Penyempurnaan Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru pada Disember tahun lalu.

​Bagaimanapun, Loke mendedahkan terdapat satu program iaitu Majlis Peluncuran MyLesenB2 untuk pelajar sekolah di Johor Bahru pada 11 Mei lalu yang tidak dihadiri oleh mana-mana wakil kerajaan negeri walaupun jemputan telah dihantar.

​Dalam pada itu, Loke turut ‘memulangkan paku buah keras’ apabila mendedahkan Exco Pengangkutan Johor sebenarnya sudah melakukan sesi pandu uji (dry run) Komuter Selatan pada Mac lalu tanpa memaklumkan pihak kementeriannya terlebih dahulu.

​”Pihak Exco Pengangkutan Johor sendiri sudah pun naik tren untuk ‘dry run’ Komuter Selatan walaupun belum dimuktamadkan pada ketika itu. Tidak maklum MOT pun, tetapi saya tidak melatah,” katanya.

​Bagi menyelesaikan isu berkenaan, Loke mengesahkan surat jemputan rasmi akan dihantar dengan kadar segera kepada Onn Hafiz untuk program di Kulai pada Selasa ini, malah sedia memberikan ruang untuk Menteri Besar Johor itu menyampaikan ucapan.

BBerkaitan

Latest articles