KP J-KOM tak goyah provokasi kumpulan ‘Reformati’ Albert Tei

​PUTRAJAYA: Suasana di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bertukar sedikit tegang seketika apabila kumpulan ‘Reformati Studio’ termasuk pempengaruh, Rafidah, cuba melakukan provokasi semasa sidang media Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali, pagi tadi.

​Bagaimanapun, Mohd Hisyamuddin kekal tenang dan tidak goyah, malah sempat mengajak individu terbabit, Datuk Albert Tei, untuk berdebat secara terbuka.

​Kejadian berlaku sejurus selepas Mohd Hisyamuddin selesai membuat laporan polis berhubung gangguan ketenteraman di premis Kementerian Komunikasi serta lambakan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh Albert Tei sebelum ini.

​Sebaik sahaja pengamal media berdaftar selesai bertanyakan soalan rasmi, beberapa individu daripada kumpulan Albert Tei mula bertindak agresif dengan melontarkan soalan-soalan berbaur provokasi.

​Meskipun diasak dengan situasi tidak dijangka itu, Mohd Hisyamuddin dilihat sangat tenang mengendalikan keadaan, malah sempat berjabat tangan dengan pihak terbabit bagi meredakan suasana.

​Ketegangan memuncak apabila Albert Tei sendiri cuba menghujani Ketua Pengarah J-KOM itu dengan soalan provokasi, namun situasi itu dikawal rapi oleh Mohd Hisyamuddin dengan jawapan bersahaja.

​”Simpan soalan itu dulu, kita ajak debat bersama,” balas Mohd Hisyamuddin secara profesional, yang sekali gus mematikan cubaan kumpulan berkenaan untuk mencetuskan kekecohan lebih besar.

​Keadaan di luar perkarangan IPD Putrajaya dilaporkan kekal terkawal dan tenang tanpa sebarang insiden tidak diingini.

​Terdahulu, laporan polis dibuat berikutan tindakan Albert Tei yang didakwa kerap hadir ke premis kerajaan bagi mencetuskan provokasi dan mengganggu urusan rasmi penjawat awam.

​”Premis kerajaan merupakan tempat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan perlu dihormati serta dipelihara daripada sebarang bentuk gangguan yang boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran awam,” katanya.

​Selain gangguan fizikal, Albert Tei juga didakwa membuat tuduhan jahat secara terbuka di media sosial termasuk mendakwa wujud campur tangan kementerian dalam sekatan akaun miliknya serta mendakwa Menteri Komunikasi enggan bertemu dengannya.

​Mohd Hisyamuddin menegaskan, J-KOM menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan sedia memberikan kerjasama penuh demi mempertahankan kredibiliti institusi kerajaan.

BBerkaitan

Latest articles