Tindakan UMNO NS Menyebabkan Kedudukan Aminuddin Kian Terdesak

SEREMBAN – Kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun dilihat semakin tertekan dan terdesak apabila UMNO Negeri Sembilan mula mengambil langkah mendukung institusi Di Raja negeri tersebut susulan krisis adat dan perlembagaan negeri yang belum menunjukkan jalan penyelesaian.

Perkembangan itu timbul apabila Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias secara terbuka mencadangkan penubhan jawatankuasa khas pendamai bagi meredakan kemelut antara institusi adat dan pentadbiran kerajaan negeri.

Cadangan tersebut dilihat bukan sekadar usaha damai, tetapi isyarat jelas bahawa keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin semakin goyah, termasuk dalam kalangan rakan kerajaan sendiri.

Menurut Jalaluddin, jawatankuasa itu perlu dianggotai individu berpengaruh yang memahami adat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), selain bebas daripada kecenderungan memihak kepada mana-mana pihak.

“Bagi saya, perlu ada tindakan segera untuk menyelesaikan kemelut ini, antaranya dengan menubuhkan jawatankuasa khas pendamai.

“Jawatankuasa ini perlulah dianggotai oleh mereka yang berpengaruh dan mempunyai kepakaran dalam adat, khususnya UUTKNS, selain tidak menyebelahi mana-mana pihak,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan bekas Menteri Besar, Tan Sri Dr Rais Yatim yang sebelum ini menggesa Aminuddin segera memanggil semula Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bagi meredakan ketegangan semasa.

Jalaluddin yang juga Exco Kanan kerajaan negeri menegaskan, situasi itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana rakyat semakin tertanya-tanya tentang kedudukan sebenar pentadbiran negeri.

Lebih signifikan, beliau turut menyentuh secara langsung titah Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin yang sebelum ini mensabdakan bahawa Aminuddin tidak lagi layak mentadbir negeri serta wajar diturunkan.

Menurut beliau, kenyataan tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana ia menunjukkan krisis yang berlaku bukan sekadar polemik politik biasa, tetapi melibatkan maruah institusi adat yang menjadi tunjang Negeri Sembilan.

UMNO Negeri Sembilan, katanya, kekal berpendirian mempertahankan institusi adat dan kedaulatan Undang-Undang Tubuh Negeri.

BBerkaitan

Latest articles