TH Perkukuh Kesiapsiagaan Haji, Pelan Bencana Diselaraskan Hadapi Konflik Asia Barat

SEPANG: Tabung Haji menegaskan komitmennya memastikan kelancaran operasi musim haji tahun ini dengan memperkukuh pelan kesiapsiagaan susulan ketegangan berterusan di Asia Barat.

Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air 1447H/2026M, Mohd Norber Kassim berkata, aspek keselamatan jemaah, perlindungan insurans serta pengurusan operasi berada sepenuhnya di bawah tanggungjawab TH dan dikawal rapi.

Menurut beliau, TH sememangnya telah memiliki pelan bencana serta prosedur operasi standard (SOP) yang mantap sejak awal, dan kini sedang diperkemas mengikut perkembangan semasa.

“Pelan sedia ada akan terus diselaraskan dari semasa ke semasa berdasarkan situasi terkini. Kita mahu semua urusan haji berjalan lancar seperti dirancang,” katanya selepas menghadiri taklimat Operasi Haji Tanah Air (OHTA), hari ini.

Beliau menegaskan, pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan sebarang risiko dapat ditangani dengan segera tanpa menjejaskan perjalanan ibadah jemaah Malaysia.

Dalam masa sama, TH turut bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara serta berhubung secara langsung dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan perkembangan terkini situasi di Tanah Suci.

“Kerajaan Arab Saudi telah memberi jaminan bahawa operasi haji akan diteruskan seperti biasa. Justeru, TH akan melaksanakan segala perancangan sebagaimana yang telah ditetapkan,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles