KUALA LUMPUR, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mengesahkan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesen minyaknya di negara ini adalah mencukupi dan terjamin sehingga akhir Jun 2026.
Menurut PETRONAS, jaminan tersebut merupakan lanjutan daripada unjuran terdahulu yang hanya menjangkakan bekalan mencukupi sehingga akhir Mei 2026.
Syarikat minyak nasional itu memaklumkan bahawa pihaknya terus mengurus rantaian bekalan secara aktif bagi memastikan stok bahan api mencukupi di semua stesen, susulan cabaran semasa krisis tenaga global yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.
PETRONAS melalui anak syarikat tersenarai awamnya, Petronas Dagangan Berhad, menyumbang kira-kira 50 peratus daripada keperluan bahan api negara, manakala selebihnya dibekalkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
Dalam pada itu, PETRONAS menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan bahan api kekal stabil dan boleh dipercayai kepada semua rakyat Malaysia.
Orang ramai turut disaran agar membeli bahan api secara berhemah mengikut keperluan harian serta mengelakkan sebarang aktiviti pembelian panik atau penimbunan yang boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna lain.










