Padah Kejar Polis Bersama Senjata, Pemandu Lori Didenda RM9,100

KUALA LANGAT: Tindakan seorang lelaki yang tular kerana mengejar anggota polis sambil memegang senjata di sebuah restoran minggu lalu berakhir dengan hukuman denda RM9,100 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, pada semalam.

Tertuduh, P Mahendran, 31, membuat pengakuan bersalah terhadap empat pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Maslinda Selamat.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara selama 22 bulan sekiranya dia gagal melunaskan jumlah denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan pelbagai barangan di restoran termasuk pinggan mangkuk dan meja, sehingga menyebabkan kerugian kepada pemilik premis.

Dia juga berdepan pertuduhan menggunakan kekerasan terhadap individu sama, selain merosakkan kenderaan polis jenis Honda Civic dengan mencalarkan badan kereta menggunakan rotan, mengakibatkan kerugian sekitar RM3,700.

Bagi pertuduhan lain, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota polis, Mohamad Fazlan Azir, dengan tujuan menghalang penjawat awam itu menjalankan tugas.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang antara jam 3.15 hingga 3.30 petang pada 8 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid yang memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kepentingan awam serta kerugian dialami mangsa.

Namun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhd Muqri Mohd Khairi merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Menurutnya, kejadian tersebut berpunca daripada salah faham berkaitan pembayaran makanan dan tertuduh kini menyesali tindakannya serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Terdahulu, insiden berkenaan mencetuskan perhatian ramai selepas lelaki terbabit dilaporkan mengamuk di restoran dengan bersenjatakan pisau pemotong daging dan rotan, selain merosakkan harta benda termasuk beberapa kenderaan awam sebelum berjaya ditahan polis di lokasi kejadian.

BBerkaitan

Latest articles