KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan langkah menyeluruh bagi menangani krisis tenaga global yang semakin memuncak dan dijangka berlarutan, hasil keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus utama kerajaan adalah memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, sambil setiap tindakan diambil secara berhemah dan berpaksikan realiti semasa.
Menurut beliau, usaha segera tertumpu kepada menjamin kestabilan bekalan tenaga serta barangan asas supaya kehidupan harian rakyat tidak terjejas.
Langkah itu digerakkan melalui peranan Petronas serta perancangan rapi bagi memastikan bekalan mencukupi dalam tempoh mendatang.
“Dalam masa sama, kerajaan memperkukuh langkah menampan kenaikan kos melalui bantuan subsidi diesel tambahan kepada pesawah, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan individu,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Tambah beliau, pengurusan permintaan turut dipertingkat dengan menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih cekap, termasuk pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam bermula esok.
Pada masa sama, operasi penguatkuasaan seperti Ops Tiris akan dipergiat bagi mengekang ketirisan dan aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan bekalan bahan api negara.
Mengulas langkah jangka sederhana dan panjang, Anwar berkata, kerajaan akan mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada import bahan api yang tidak menentu.
“Biodiesel dilihat sebagai penyelesaian paling praktikal dalam masa terdekat, dengan peningkatan adunan kepada B15 secara berperingkat menggunakan kemudahan sedia ada.
“Pendekatan ini membolehkan tindakan segera dilaksanakan sementara pembangunan sistem baharu disempurnakan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, kekuatan industri domestik dan kapasiti sedia ada akan dimanfaatkan bagi menstabilkan bekalan serta meningkatkan daya tahan sektor tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
“Insya-Allah, cabaran ini akan kita tempuhi dengan tekad, disiplin dan semangat kebersamaan,” katanya.










