KOTA BHARU: Seorang pelajar perempuan tingkatan satu maut dipercayai dilanggar sebuah kenderaan di dalam kawasan sebuah sekolah di sini kira-kira 1.30 tengah hari tadi.
Ibu saudara mangsa, Zuraifah Noor, 43, berkata menjadi rutin hariannya untuk menjemput Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, dan abangnya Mohd Ali Mustaqim, 15, yang bersekolah di sekolah sama, namun hari ini mereka lambat tiba ke kereta.
“Namun, tiba-tiba Mohd Ali Mustaqim memaklumkan kepada saya yang adiknya sudah tiada. Saya terkejut dan tidak menyangka sama sekali ia berlaku dan terus menuju ke surau (dipercayai lokasi kejadian),” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, hari ini.
Allahyarham Nur Fatimatul Hawa dipercayai meninggal dunia apabila sebuah kenderaan melanggarnya selepas mangsa selesai menunaikan solat zuhur berjemaah di surau sekolah.
Zuraifah yang masih terkejut dan bersedih berkata sejak adiknya, Siti Maheran yang juga ibu kepada mangsa meninggal dunia lebih lima tahun lepas, dia mengambil tugas menguruskan keempat-empat anak saudaranya termasuk arwah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Azaudin Abdullah, 43, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Zuraifah yang menghubunginya ketika masih berada di tempat kerja di Kampung Chepa.
“Ketika itu saya tidak tahu perkara sebenar sehingga saya tiba di sekolah berkenaan. Sebaik tiba di sekolah, saya terus ke kawasan surau dan terkejut apabila anak saya sudah terbaring kaku dan meninggal dunia,” katanya dan berharap akan mendapat keadilan yang sewajarnya.
Beliau berkata jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Mas, di sini selepas selesai proses bedah siasat. — BERNAMA










