KUALA LUMPUR: Cadangan agar Khairy Jamaluddin bertanding di Parlimen Pandan bagi mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat bukan sekadar polemik politik, sebaliknya berpotensi memperkasa mutu demokrasi negara.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamallulai berkata, kawasan Parlimen itu sememangnya sinonim dengan perbahasan dasar yang kritikal, khususnya melibatkan isu ekonomi dan agenda reformasi.
Menurutnya, kehadiran Khairy sebagai pencabar berprofil tinggi akan mewujudkan persaingan yang lebih matang, sekali gus membuka ruang kepada pertembungan idea yang seimbang antara dua tokoh berpengaruh.
“Rafizi dikenali dengan pendekatan analitikal serta naratif reformasi ekonomi, manakala Khairy pula mempunyai pengalaman dalam pentadbiran selain keupayaan komunikasi dasar yang berkesan.
“Pertembungan ini memberi peluang kepada rakyat menilai dua gaya kepimpinan berbeza, bukan sekadar populariti, tetapi keupayaan sebenar dalam mentadbir negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, persaingan itu boleh dianggap sebagai ‘buku bertemu ruas’ yang mampu mencorakkan landskap politik lebih sihat dan berkualiti.
Katanya, pengundi di Pandan bukan sahaja memilih wakil rakyat, malah menentukan hala tuju perbahasan dasar negara sama ada mengekalkan pendekatan sedia ada atau memberi peluang kepada alternatif baharu.
Sementara itu, Rafizi sebelum ini dalam satu podcast membayangkan kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pandan sekiranya beliau dipecat daripada parti.
Namun, beliau menegaskan akan mempertahankan kerusi tersebut dan menjangkakan PKR mungkin mempertaruhkan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai calon, bukannya Khairy.










