Anggota Tentera Dipercayai Dipukul Di Kem Bentong Meninggal Dunia
TEMERLOH: Seorang anggota tentera, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, meninggal dunia pagi ini selepas beberapa hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah dipercayai dipukul dalam kejadian di sebuah kem, penghujung bulan lalu.
Perkara itu disahkan bapanya, Rosafindi Tambi Chik, 49, yang memaklumkan anaknya menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.45 pagi ketika menerima rawatan di hospital.
“Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi pada jam 9.45 pagi. Jenazah akan dikebumikan di Pusara Damai Felda Sungai Kelamah, Gemas di Negeri Sembilan,” katanya.
Insiden tersebut dipercayai berlaku kira-kira jam 8 malam, apabila mangsa bersama enam lagi rakan setugas mengalami kecederaan selepas didakwa dipukul dalam kawasan kem.
Muhammad Amirul Raziq dilaporkan parah dalam kejadian itu.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati berkaitan tugasan pembersihan stor senjata pada 31 Mac lalu.
Seorang anggota berpangkat Koperal yang disyaki terlibat telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Perkembangan terbaharu turut menyaksikan tertuduh, Sukry Tasu, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Bentong minggu lalu atas tujuh pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tujuh anggota tentera lain.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi pertuduhan pertama serta RM2,000 bagi setiap enam pertuduhan lain dengan seorang penjamin, sementara siasatan lanjut terus dijalankan.










