MoU Stipendium Hungaricum 2026–2028 Diperbaharui, Hungary Tawar 40 Biasiswa Penuh Setiap Tahun

PUTRAJAYA, Kerajaan Malaysia dan Hungary hari ini memperbaharui kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi program biasiswa Stipendium Hungaricum untuk tempoh 2026 hingga 2028.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Diraja Zambry Kadir berkata perjanjian itu dimeterai susulan kunjungan hormat Duta Besar Hungary ke Malaysia, TYT Dr. Sándor Sipos ke kementerian berkenaan bagi memperkukuh hala tuju hubungan akademik dua hala.

Dokumen MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim bersama Dr. Sipos yang mewakili Kerajaan Hungary.

Katanya Melalui kerjasama itu, Hungary akan menawarkan sebanyak 40 biasiswa penuh setiap tahun kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) bermula 2026.

Biasiswa berkenaan merangkumi pembiayaan penuh yuran pengajian, elaun sara hidup, penginapan serta perlindungan insurans kesihatan sepanjang tempoh pengajian.

Menurut Dr Zambry lagi , program itu terus mendapat sambutan tinggi dalam kalangan pelajar tempatan apabila kira-kira 350 permohonan diterima bagi mengisi 40 tempat yang ditawarkan pada sesi akademik terdahulu.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada program global Kerajaan Hungary yang menyediakan kira-kira 12,000 biasiswa setiap tahun kepada pelajar antarabangsa dari pelbagai negara rakan diplomatik.

Dr Zambry turut memaklumkan, kerjasama berterusan ini bukan sahaja memperluas akses pendidikan global, malah mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara serta membina jaringan bakat bertaraf antarabangsa.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia, Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS), Novie Tajuddin; serta Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, Datin Noorazah Omar.

BBerkaitan

Latest articles