KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bekalan minyak negara kekal stabil bagi tempoh dua bulan ini meskipun sebuah kapal tangki dilaporkan mengalami kerosakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata situasi semasa masih terkawal dengan sebahagian besar penghantaran berjalan lancar.
Daripada tiga kapal yang membawa bekalan, dua daripadanya berjaya melepasi laluan strategik Selat Hormuz tanpa sebarang masalah, manakala sebuah lagi kini berada di pelabuhan selepas mengalami kerosakan.
Menurut beliau, perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, dalam satu taklimat khas tengah hari tadi yang menyentuh aspek logistik dan pengangkutan bekalan minyak negara.
Anwar turut menegaskan bahawa Jemaah Menteri kini memantau keadaan secara harian, termasuk dari sudut penguatkuasaan, bagi memastikan bekalan terus mencukupi dan tidak menjejaskan pasaran domestik.
Mengulas mengenai isu harga bahan api, beliau menjelaskan kerajaan masih berusaha mengekalkan harga RON95 walaupun berdepan tekanan kewangan.
“Langkah ini penting bagi mengurangkan beban rakyat, walaupun ia sedikit membebankan kerajaan dari segi kewangan,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussa’adah, Kampung Cheras Baru.
Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai supaya lebih berhemah dalam penggunaan bahan api sebagai langkah bersama membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.
Sementara itu, kerajaan juga memutuskan untuk meneruskan subsidi diesel bagi mengelakkan kesan kenaikan kos terus dirasai rakyat, khususnya golongan yang terjejas secara langsung.
Anwar mengakui kenaikan harga diesel memberi impak meluas kepada pelbagai sektor.
Walaupun bantuan bersasar telah disalurkan kepada peladang, petani dan nelayan, masih terdapat kumpulan lain yang turut terkesan.
Justeru, beberapa kementerian kini sedang menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti pendekatan terbaik dalam mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
Kerajaan, tegas beliau, komited memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara sambil merangka langkah lebih menyeluruh dan berkesan dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.










