KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli tampil memberikan jawapan balas terbuka terhadap surat tunjuk sebab terbaharu yang diterimanya, sekali gus mengundang perhatian ramai terhadap hala tuju disiplin parti itu.
Menerusi hantaran di Facebook, bekas Timbalan Presiden PKR itu menjawab empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya, termasuk tegurannya kepada kepimpinan parti agar tidak membudayakan amalan ‘bodek’.
Rafizi menegaskan, teguran tersebut bukan perkara baharu, malah sudah lama disuarakan secara berdepan dengan presiden parti dalam pelbagai ucapan kongres sebelum ini.
“Jika sebelum ini teguran saya disambut oleh presiden dengan senyuman dan secara terbuka sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, sewajarnya ingatan saya itu, yang berpuluh tahun mengambil risiko untuk mempertahankan beliau dan keluarga beliau sehingga beliau menjadi Perdana Menteri, juga disambut dengan tawadhu’ selepas beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Mengulas pertuduhan kedua berkaitan perhimpunan membantah Tan Sri Azam Baki, Rafizi menafikan penganjurannya, sebaliknya menjelaskan ia digerakkan oleh sekumpulan aktivis muda dikenali sebagai Sekretariat Tangkap Azam Baki.
“Perhimpunan itu tidak berbeza dari Perhimpunan Bersih yang dianjurkan oleh kumpulan bukan partisan dan menjemput tokoh pelbagai bidang (termasuk ahlipolitik) untuk berucap,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mempertahankan kenyataannya berhubung beberapa individu yang didakwa mempunyai kaitan rapat dengan presiden parti, termasuk Datuk Farhash Wafa Salvador dan Datuk Seri R Ramanan.
“Seorang yang waras, berprinsip dan ada naluri ingin mencari kebenaran, boleh membuat kesimpulan bahawa individu-individu seperti Farhash Wafa Salvador dan R Ramanan mempunyai pertalian yang sangat rapat dengan presiden parti dan terlindung dari tindakan-tindakan yang akan dikenakan kepada orang lain, sekiranya orang lain itu terpalit dalam tuduhan-tuduhan yang saya sebut di atas (merujuk kepada isu melibatkan Farhash Wafa Salvador dan R Ramanan),” katanya.
Sehubungan itu, Rafizi berharap Lembaga Disiplin PKR dapat membuat keputusan secara tegas dan segera tanpa terus menangguhkan proses berkenaan, sambil menyifatkan rakyat sudah muak dengan polemik berpanjangan.
Beliau turut menegaskan, sekiranya penjelasannya dianggap melanggar Perlembagaan parti, tindakan tegas termasuk pemecatan wajar diambil demi memastikan PKR dilihat sebagai sebuah parti yang normal dan konsisten dalam pelaksanaan disiplin.










