Badan Peguam Cabar Keputusan Henti Kes Zahid, Mohon Semakan Kehakiman

KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia mengkritik keputusan Jabatan Peguam Negara menghentikan prosiding jenayah terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan menyifatkannya sebagai tidak rasional serta bercanggah dengan kepentingan awam.

Menerusi permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, badan itu memohon keputusan “tiada tindakan lanjut” (NFA) dibatalkan walaupun perbicaraan telah hampir selesai.

Mereka turut menuntut mahkamah mengarahkan peguam negara sama ada menyambung semula kes atau memfailkan pertuduhan baharu, selain mendedahkan alasan dan dokumen berkaitan keputusan tersebut.

Badan Peguam berhujah tindakan itu bercanggah dengan dapatan mahkamah sebelum ini yang memutuskan wujud kes prima facie terhadap Zahid, serta berpotensi menyebabkan pembaziran masa dan sumber awam.

Permohonan difailkan melalui firma guaman Abhilaash Subramaniam & Co dengan peguam negara dan Zahid sebagai responden.

Kes ini sebelum ini menyaksikan Zahid diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) pada September 2023 ketika perbicaraan di peringkat pembelaan.

Namun pada Januari lalu, pihak pendakwaan memutuskan tidak meneruskan kes selepas siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sementara itu, rayuan Badan Peguam berhubung cabaran terdahulu terhadap keputusan DNAA sedang didengar di Mahkamah Rayuan Malaysia dan dijadualkan bersambung pada 15 April ini.

BBerkaitan

Latest articles