KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan segelintir pemimpin politik berpengaruh yang dilabel sebagai ‘ulama’ berhubung isu kenaikan harga bahan api, dengan menyifatkannya sebagai dangkal serta berpotensi mengelirukan rakyat.
Beliau menegaskan dakwaan kononnya kenaikan harga minyak hanya berlaku di Malaysia adalah tidak tepat dan mencerminkan kefahaman cetek terhadap realiti ekonomi global, meskipun dibaluti hujah agama yang mudah mempengaruhi orang ramai.
Berucap pada majlis bersama warga Kementerian Pengangkutan, Anwar berkata kenyataan sedemikian bukan sahaja tidak membantu, malah menimbulkan kekeliruan apabila separuh fakta dijadikan hujah mutlak.
Kenyataan itu dilihat sebagai respons kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini mempertikaikan rasional kenaikan harga diesel di Semenanjung serta kaitannya dengan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Menurut Anwar, kerajaan memikul tanggungjawab besar dalam mengurus ekonomi negara yang terdedah kepada tekanan global, termasuk konflik antarabangsa dan sekatan terhadap negara pengeluar minyak.
Beliau menegaskan bahawa harga bahan api tidak ditentukan secara terasing, sebaliknya dipengaruhi pelbagai faktor seperti kos logistik, insurans dan rantaian bekalan global.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan walaupun Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Iran dan bekalan minyak masih dapat dihantar, kos keseluruhan tetap meningkat berikutan risiko di laluan strategik seperti Selat Hormuz.
Katanya, lonjakan kos insurans yang melebihi 100 peratus serta peningkatan kos pengangkutan menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan harga bahan api, sekali gus menolak tanggapan bahawa ia berpunca daripada kekurangan bekalan semata-mata.










