Koperal Tentera Didakwa Belasah Tujuh Anggota Junior, Seorang Koma

BENTONG: Seorang anggota tentera berpangkat koperal dihadapkan ke mahkamah hari ini atas pertuduhan mencederakan tujuh anggota junior dalam satu insiden di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), minggu lalu.

Tertuduh berusia 37 tahun itu tiba di kompleks mahkamah sekitar pukul 8.30 pagi dengan kawalan polis, memakai pakaian lokap berwarna ungu.

Dia dilihat tenang ketika berdepan pihak media sebelum prosiding bermula kira-kira pukul 9.15 pagi.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan melibatkan kesalahan menyebabkan kecederaan parah.

Tertuduh sebelum ini direman selama empat hari bagi membantu siasatan sebelum pertuduhan difailkan hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, pihaknya membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada bapa salah seorang mangsa.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 8 malam di dalam kawasan kem berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati semua mangsa berusia antara 19 hingga 22 tahun merupakan anggota tentera sepenuh masa, sekali gus menafikan dakwaan tular yang menyebut mereka sebagai pelatih.

Dalam kejadian itu, seorang mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius dan kini berada dalam keadaan koma serta dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Mangsa dilaporkan masih tidak sedarkan diri dan bergantung kepada bantuan pernafasan.

Sementara itu, mangsa lain telah dirujuk ke Hospital Bentong untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles