KAJANG: Seorang lelaki ditahan selepas rakaman video memaparkan tindakannya mendera seekor anak kucing di sebuah premis dobi layan diri tular di media sosial.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor memaklumkan, tindakan itu diambil susulan aduan orang awam sebelum sepasukan Pegawai Kebajikan Haiwan menjalankan pemeriksaan di lokasi kira-kira jam 11 pagi.
Menurut kenyataan, anak kucing yang dipercayai haiwan sama dalam video berkenaan ditemukan di premis tersebut bersama seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang disyaki pelaku, sebelum dia ditahan untuk siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar awal pagi semalam, dengan suspek kini direman bagi membantu siasatan.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas anak kucing berkenaan, sebuah telefon bimbit serta barangan dipercayai milik suspek.
Kes disiasat di bawah Subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.










