Kilang Kopi, Biskut Didakwa Guna Berus Bulu Babi Diarah Henti Guna Logo Halal

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pengeluaran kopi dan biskut di Melaka diarahkan menghentikan serta-merta penggunaan logo Halal Malaysia selepas Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) miliknya ditarik balik susulan penemuan berus dipercayai mengandungi ciri bulu babi di premis berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan, syarikat terbabit turut diarahkan menarik semua produk yang terjejas dari pasaran sebagai langkah segera melindungi pengguna.

Menurut beliau, pihak syarikat juga diwajibkan melaksanakan tindakan pembetulan secara menyeluruh, termasuk menambah baik proses operasi agar mematuhi hukum syarak serta garis panduan pensijilan halal yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Jakim mengambil maklum kenyataan Exco Agama Melaka yang dilaporkan media sebelum ini berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menarik SPHM syarikat berkenaan.

Sirajuddin menegaskan, Jakim menghormati sepenuhnya bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri dalam pengurusan pensijilan halal termasuk aspek pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pemegang sijil.

“Tiada sebarang toleransi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang gagal mematuhi piawaian Pensijilan Halal Malaysia, lebih-lebih lagi jika melibatkan unsur najis mughallazah seperti babi yang merupakan pelanggaran serius,” katanya.

Beliau menambah, Jakim akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi memastikan pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih berkesan.

“Tindakan tegas dan segera akan terus diambil bagi menjamin integriti pensijilan halal negara sentiasa terpelihara serta memastikan kepentingan masyarakat dalam mendapatkan makanan halal tidak terjejas,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles