KUALA LUMPUR: Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perpecahan orang Melayu terus mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk daripada kepimpinan muda UMNO.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh menyatakan sokongannya secara ringkas terhadap pandangan tersebut dengan menegaskan bahawa perpecahan hanya akan melemahkan kekuatan orang Melayu.
“Terima kasih Tun. Selagi Melayu berpecah, selagi itulah kita akan lemah,” katanya sebagai respon kepada kenyataan itu.
Terdahulu, Mahathir menjelaskan bahawa antara punca utama kelemahan orang Melayu hari ini adalah kewujudan terlalu banyak parti politik yang menyebabkan perpecahan dan persaingan sesama sendiri.
Menurutnya, keadaan itu menyukarkan mana-mana pihak untuk mencapai kemenangan.
Beliau turut mengimbas era penjajahan British, apabila orang Melayu bersatu di bawah satu parti, UMNO, sekali gus berjaya menentang kuasa penjajah ketika itu.
Namun begitu, kenyataan tersebut tidak terlepas daripada kritikan netizen di media sosial.
Rata-rata mempersoalkan kenyataan Mahathir dengan mengaitkan peranannya sendiri dalam penubuhan beberapa parti politik selepas meninggalkan UMNO sebelum ini.










