KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik kepada Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim, Faekah Husin mendakwa Datuk Seri Rafizi Ramli kini berdepan ‘kifarah’ susulan peranannya dalam merancang Langkah Kajang lebih sedekad lalu.
Menurut beliau, situasi yang dihadapi bekas Timbalan Presiden PKR itu hari ini seolah-olah mengulangi apa yang pernah dilalui Khalid apabila diketepikan parti pada tahun 2014.
Faekah menyifatkan Langkah Kajang sebagai tindakan “jijik” yang menurutnya tidak akan berlaku tanpa restu pucuk pimpinan tertinggi parti.
Katanya, episod itu turut menghakis kepercayaan beliau terhadap Rafizi dan dianggap sebagai titik hitam dalam sejarah perjuangan PKR sejak penubuhannya pada 1999.
“Selepas peristiwa itu, saya tidak lagi meletakkan harapan tinggi kepadanya kerana ia mencerminkan pengkhianatan terhadap prinsip keadilan yang dibawa parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mendedahkan bahawa Khalid sebelum ini didakwa pernah ditekan dan diugut supaya menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden parti bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan 2010.
Mengulas lanjut, Faekah mendakwa campur tangan dalaman sedemikian bukan perkara asing dalam parti, malah menyifatkan ‘kifarah’ politik boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk tokoh lain seperti Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Khalid masih mempunyai rekod pentadbiran yang boleh dipertahankan ketika menerajui Selangor, berbeza dengan Rafizi yang menurutnya belum sempat membuktikan pencapaian signifikan kepada rakyat.
Faekah turut mempersoalkan hala tuju Rafizi selepas ini, sama ada akan berkompromi dengan kepimpinan parti termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim atau kekal dengan pendirian sedia ada.
“Saya mengambil pendekatan tunggu dan lihat, sama seperti kebanyakan rakyat,” katanya.
Untuk rekod, Khalid dipecat daripada PKR pada 9 Ogos 2014 selepas enggan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor bagi memberi laluan kepada Wan Azizah, sebelum beliau meneruskan pentadbiran sebagai ADUN bebas buat sementara waktu.










