KUALA LUMPUR: Kontroversi mengenai siapakah calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) terus berlarutan apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tampil memberikan respons berbaur sindiran terhadap kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Reaksi itu susulan penegasan Muhyiddin bahawa pelantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN tidak bermakna beliau adalah calon automatik Perdana Menteri sekiranya gabungan tersebut memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Dalam hantaran ringkas di media sosial, Samsuri atau Dr Sam menyatakan polemik berkenaan tidak perlu diperbesarkan.
Namun beliau turut melontarkan kenyataan tajam dengan menyebut, “Yang pasti TSMY juga bukan lagi calon PM.”
Sebelum ini, Muhyiddin menjelaskan bahawa isu penentuan calon Perdana Menteri adalah perkara berasingan dan belum dibincangkan secara rasmi bersama parti-parti komponen PN termasuk PAS.
Menurut beliau, sebarang keputusan berkaitan jawatan tertinggi negara itu perlu diputuskan secara kolektif oleh kepimpinan gabungan.
Kenyataan tersebut mencetuskan pelbagai tafsiran dalam kalangan pemerhati politik dan penyokong parti, malah Samsuri mengakui menerima banyak pertanyaan media berhubung kedudukannya dalam struktur kepimpinan PN.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tumpuan utama PN ketika ini bukan soal perebutan jawatan Perdana Menteri, sebaliknya memperkukuh perpaduan dalaman serta memperkemas kerjasama bagi menghadapi pilihan raya akan datang.










