Fahmi Zainol Digugur Sebagai Exci Selepas Terpalit Kes Cederakan Isteri

GEORGE TOWN: Kemelut membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol akhirnya menyaksikan beliau digugurkan daripada barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Keputusan itu disahkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang memaklumkan telah mengadakan pertemuan dengan Fahmi pagi tadi bagi menyampaikan keputusan berkenaan.

Menurut beliau, Fahmi menerima ketetapan tersebut.

Chow berkata, cadangan nama pengganti akan dikemukakan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang petang ini untuk pertimbangan lanjut.

Beliau turut mendedahkan bahawa Datuk Fuziah Salleh selaku Setiausaha Agung PKR telah menghantar surat rasmi semalam memohon supaya Fahmi digugurkan daripada barisan pentadbiran negeri.

“Saya menghormati keputusan parti,” katanya ringkas.

Perkembangan itu hadir selepas Fahmi minggu lalu mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.

Susulan kes berkenaan, beliau digantung daripada semua jawatan dalam PKR.

Bagaimanapun, Adun penggal pertama itu telah mengemukakan rayuan terhadap penggantungan tersebut.

Fahmi berhujah bahawa satu-satunya kedudukan beliau dalam parti adalah sebagai ahli jawatankuasa negeri PKR Pulau Pinang secara ex officio, iaitu berdasarkan kapasiti beliau sebagai Adun.

Menurutnya, selagi beliau kekal sebagai wakil rakyat Pantai Jerejak, keanggotaan ex officio dalam kepimpinan negeri secara teknikal masih terpakai.

Sebelum ini, Chow pernah menyatakan Fahmi akan terus menjalankan tugas sebagai Exco walaupun berdepan pertuduhan, memandangkan prinsip undang-undang mengiktiraf seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

BBerkaitan

Latest articles