Parti Guna Nama Keluarga Malaysia Tidak Ada Kaitan Dengan Yayasan Keluarga Malaysia – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan bahawa sekiranya benar wujud sebuah parti yang menggunakan nama “Keluarga Malaysia”, ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan falsafah Keluarga Malaysia yang diperkenalkannya ketika menerajui pentadbiran negara sebelum ini.

Menurutnya, setakat ini beliau belum membuat semakan rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung dakwaan kewujudan parti berkenaan dan hanya mengetahui perkara tersebut menerusi laporan media sosial.

“Kalau betul ada parti menggunakan nama itu, ia tiada kaitan dengan falsafah Keluarga Malaysia yang saya perkenalkan dahulu dan juga tidak ada kena-mengena dengan Yayasan Keluarga Malaysia.

“ Kita tunggu pengumuman rasmi daripada ROS. Jika perlu, kita sendiri akan buat semakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa anjurannya di Menara Aras Jaya, di sini, hari ini.

jelas Ahli Parlimen Bera Itu itu turut melahirkan kebimbangan sekiranya penggunaan nama tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan Yayasan Keluarga Malaysia yang ditubuhkan bagi membantu anak-anak yatim dan golongan terjejas.

Katanya, yayasan itu menerima sumbangan daripada orang ramai dan sebarang kekeliruan nama boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan penyumbang.

“Kita bimbang orang ramai terkeliru, takut ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama yang hampir sama. Ini boleh menyusahkan dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap yayasan,” jelasnya.

“Oleh kerana Yayasan Keluarga Malaysia telah lama wujud dan digunakan sejak zaman pentadbiran saya, sekiranya benar ada parti yang cuba menggunakan nama sama, sewajarnya perkara ini diteliti oleh ROS,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Hamzah Zainudin, dijangka memimpin Parti Keluarga Malaysia bagi meneruskan kelangsungan perjuangan politiknya selepas dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bulan lalu.

Perkara itu disahkan oleh Pengasas Parti Keluarga Malaysia, Khairi Jaya, yang memaklumkan bahawa usaha membuka laluan kepada Hamzah untuk menerajui parti tersebut kini hampir dimuktamadkan.

Menurutnya, dua sesi perbincangan telah diadakan bersama Hamzah dan beberapa Ahli Parlimen lain yang turut dipecat daripada BERSATU, termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.

“Perbincangan terbaharu adalah minggu lalu pada Khamis dan boleh dikatakan 90 peratus sudah pasti Hamzah akan mengambil alih Parti Keluarga Malaysia,” katanya seperti dilaporkan media.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia itu turut menegaskan bahawa pihaknya akan menunggu penjelasan rasmi sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Beliau menambah, dari sudut perundangan, lazimnya nama yang sama tidak dibenarkan didaftarkan di bawah peruntukan berkaitan syarikat atau pertubuhan, terutama jika ia telah digunakan lebih awal katanya

BBerkaitan

Latest articles