KUALA LUMPUR: Dakwaan wujudnya pertemuan antara Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali menjadi tumpuan apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan perkara itu antara faktor utama yang membawa kepada pemecatan Timbalan Presiden parti itu.
Menurut Muhyiddin, persoalan mengenai siapa yang bertemu Zahid pernah dibangkitkan dalam kumpulan sembang pimpinan tertinggi parti, namun tidak mendapat jawapan jelas.
“Kami tanya dalam ‘chat group’ pimpinan, siapa yang jumpa Zahid? Tiada jawapan. Tetapi saya ada maklumat sahih,” katanya dalam satu pertemuan di ibu pejabat Bersatu.
Muhyiddin menjelaskan, pertemuan tersebut bukan isu kecil atau sekadar perbezaan pandangan, sebaliknya menyentuh soal disiplin dan mandat parti.
Beliau merujuk kepada kenyataan Zahid sebelum ini yang mendakwa sudah mengadakan perbincangan dengan Pas dan Bersatu, dakwaan yang turut dikaitkan dengan spekulasi gerakan politik dikenali sebagai “Bangkok Move”.
Menurutnya, sebarang rundingan politik melibatkan hala tuju parti tidak boleh dibuat secara bersendirian tanpa kelulusan kepimpinan tertinggi.
“Dalam parti ada perlembagaan dan disiplin. Tak boleh memandai-mandai pergi berunding tanpa mandat dan tanpa pengetahuan presiden atau majoriti pimpinan,” tegasnya.
Muhyiddin turut membayangkan wujud perancangan lebih besar di sebalik pertemuan tersebut, termasuk kemungkinan pembentukan gabungan baharu tanpa restu parti.
“Itu satu perkara sahaja pun sudah sangat serius, belum campur hal lain,” katanya.
Presiden Bersatu itu turut mendakwa terdapat maklumat bahawa pertemuan berkenaan mungkin berkait dengan usaha membentuk jajaran politik baharu.
Beliau menegaskan, tindakan seperti itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh integriti kepimpinan serta hala tuju parti secara keseluruhan.
Selain isu pertemuan dengan Zahid, Muhyiddin memaklumkan terdapat pelbagai lagi kesalahan lain yang telah dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti.
Bagaimanapun, beliau enggan memperincikan butiran kes atas alasan keputusan telah dibuat berdasarkan asas kukuh serta penelitian menyeluruh.
“Oh, memang banyak kesalahan lain. Tetapi itu di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin. Saya tak campur tangan secara peribadi,” katanya.
Muhyiddin menegaskan tindakan terhadap Hamzah dibuat mengikut proses parti yang sistematik, bukannya atas kehendak individu tertentu.










