Pijak al-Quran, Hina Islam: Pelajar IPT Mengaku Tak Bersalah, Hakim Tetap Jaminan RM10,000

KUANTAN: Seorang pelajar universiti tempatan yang didakwa memijak al-Quran serta memuat naik hantaran berbaur penghinaan melampau di media sosial tampil di Mahkamah Sesyen hari ini untuk berdepan dua pertuduhan.

Tertuduh, K.S. Vikneswaran, 21, bagaimanapun memilih untuk tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemuda itu didakwa dengan sengaja mencemarkan al-Quran yang merupakan benda suci bagi penganut Islam dengan niat mengaibkan agama berkenaan.

Perbuatan itu didakwa berlaku pada 22 Februari lalu kira-kira jam 1.30 tengah hari di Lorong Seri Mahkota Aman 13, Jalan Gambang, Taman Seri Mahkota Aman.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 295 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan kedua, Vikneswaran didakwa menggunakan akaun Threads “Ryandaselva” untuk membuat dan menyebarkan komunikasi yang disifatkan sebagai jelik melampau dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di bawah Seksyen 233(1)(a), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Shahrizat Ismail bersama Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Abdul Wahab.

Tertuduh pula diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman dan Mohd Rusnizam Abdullah.

Pihak pendakwaan memohon agar mahkamah menetapkan wang jaminan RM50,000 atas alasan kesalahan tersebut bersifat serius dan berprofil tinggi sehingga menimbulkan kegusaran awam.

Namun, pihak pembelaan merayu agar jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan menegaskan bahawa wang jaminan bukan hukuman, sebaliknya hanya cagaran bagi memastikan kehadiran tertuduh sepanjang perbicaraan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh merupakan pelajar di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dan bergantung sepenuhnya kepada bapanya yang berusia 59 tahun, seorang penternak ikan dengan pendapatan sekitar RM5,000 sebulan.

Bapanya turut menanggung isteri serta seorang lagi anak perempuan.

Pembelaan turut berhujah bahawa keluarga tertuduh memberi kerjasama penuh, termasuk bapanya sendiri yang membawa anaknya ke balai polis sehingga membawa kepada tangkapan sekitar jam 3 pagi.

Ibu tertuduh juga menyerahkan telefon bimbit yang digunakan untuk hantaran tular tersebut, manakala kakaknya pulang dari Johor Bahru bagi membantu siasatan.

Selain itu, pihak pembelaan menyerahkan nota klinik yang menunjukkan tertuduh pernah mendapatkan rawatan gangguan psikologi ketika berusia 15 tahun.

Walaupun pendakwaan mengakui jumlah RM10,000 adalah munasabah, mereka menegaskan kes itu berprofil tinggi dan memberi kesan besar kepada sensitiviti masyarakat.

Hakim bagaimanapun bersetuju bahawa tujuan wang jaminan adalah untuk menjamin kehadiran tertuduh dan bukannya sebagai bentuk hukuman awal.

Mahkamah akhirnya membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, serta menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di Balai Polis Jaya Gading pada setiap 1 hari bulan.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 8 April 2026.

BBerkaitan

Latest articles