Nama ADUN Bukit Tambun ‘Naik’ Selepas Penggantungan Fahmi Zainol

GEORGE TOWN: Nama Adun Bukit Tambun, Goh Choon Aik, mula hangat diperkatakan sebagai calon paling berpotensi mengisi kerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Pulau Pinang susulan penggantungan Fahmi Zainol daripada semua jawatan parti.

Sumber dalaman parti memaklumkan, kepimpinan PKR Pulau Pinang telah memulakan perbincangan bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri tidak terjejas.

Menurut sumber itu, Goh dilihat sebagai pilihan paling “selamat” dan stabil dalam keadaan semasa.

“Nama Goh muncul kerana beliau dianggap boleh diharap, mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh dan mampu bekerjasama merentasi parti dalam gabungan kerajaan,” katanya.

Goh yang pertama kali dipilih sebagai wakil rakyat pada 2018, kini mengetuai PKR Batu Kawan selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti tahun lalu.

Beliau juga merupakan timbalan kepada Ketua PKR Pulau Pinang, Mohamad Abdul Hamid yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri I.

Walaupun tidak sepopular beberapa nama besar politik Pulau Pinang, Goh dikatakan mempunyai pengaruh tersendiri khususnya di selatan Seberang Perai, sekali gus menjadikannya calon kompromi yang sukar dipertikaikan.

Sebelum ini, PKR menggantung Fahmi daripada semua jawatan parti selepas beliau didakwa atas pertuduhan keganasan rumah tangga pada Jumaat lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh, memaklumkan penggantungan itu berkuat kuasa sehingga kes mahkamah selesai.

Fahmi yang juga Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, kini berdepan tekanan agar bercuti sepanjang prosiding berlangsung.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, mengesahkan MMKN akan bermesyuarat minggu ini bagi membincangkan kedudukan Fahmi, termasuk kemungkinan beliau diarahkan bercuti.

Bagaimanapun, Chow sebelum ini menegaskan prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Sumber parti memaklumkan sebarang rombakan MMKN tertakluk kepada keputusan ketua menteri serta perbincangan dalam kerajaan perpaduan negeri yang membabitkan Pakatan Harapan dan Umno.

Tekanan dalaman dan persepsi awam dikatakan menjadi faktor utama kepimpinan mahu isu ini diselesaikan segera.

“Pimpinan merasakan perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Pentadbiran negeri mesti berjalan lancar tanpa bayangan kontroversi,” kata sumber itu lagi.

BBerkaitan

Latest articles