Semua MP DAP Sokong, Anthony Kecewa RUU Had Jawatan PM ‘Tak Lepas’

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan Dewan Rakyat memperolehi keputusan majoriti dalam undian Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 yang bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, semalam.

Beliau menyifatkannya sebagai satu tamparan kepada usaha reformasi institusi yang diperjuangkan kerajaan.

Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, kesemua 40 wakil rakyat DAP hadir dan memberikan sokongan penuh terhadap pindaan berkenaan.

Katanya, parti itu telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan agenda pembaharuan tersebut direalisasikan.

“Masyarakat sivil dan pengundi yang mahukan reformasi institusi perlu meneliti dan mempersoalkan Ahli Parlimen yang tidak hadir atau enggan menyokong pindaan ini, termasuk daripada blok pembangkang,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Terdahulu, Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU berkenaan selepas ia hanya meraih 146 undi menyokong melalui undian belah bahagian.

Seramai 44 Ahli Parlimen berkecuali manakala 32 lagi tidak hadir.

Untuk meluluskan pindaan Perlembagaan, sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 222 Ahli Parlimen diperlukan, iaitu minimum 148 undi. Keputusan hari ini menyaksikan RUU itu terlepas hanya dengan kekurangan dua undi.

Keputusan rasmi diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas sesi perbahasan yang melibatkan 41 Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang.

RUU tersebut melibatkan pindaan kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bagi menetapkan had maksimum 10 tahun bagi seseorang individu memegang jawatan Perdana Menteri.

Ia pertama kali dibentangkan minggu lalu untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Kemudian bacaan kali kedua dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam sebelum dibahaskan dan seterusnya melalui proses pengundian.

Disebabkan kegagala memperolehi majoriti RUU berkenaan tidak dapat diteruskan ke bacaan kali ketiga sekali gus menangguhkan hasrat untuk melaksanakan had tempoh jawatan Perdana Menteri yang selama ini menjadi antara tuntutan utama reformasi politik negara.

BBerkaitan

Latest articles