JK Harmoni Gesa Henti Provokasi Agama dan Kaum

KUALA LUMPUR: Usah lagi memainkan isu sensitif agama dan kaum demi kepentingan sempit sehingga mengorbankan keamanan negara. Itu pendirian tegas disuarakan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) susulan polemik berterusan yang menyentuh sentimen 3R.

Jawatankuasa yang menghimpunkan ilmuwan serta wakil agama Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Tao dan Baha’i itu sebulat suara menuntut semua pihak menghentikan sebarang bentuk provokasi, penghinaan atau manipulasi isu agama, kaum dan institusi diraja.

Menurut kenyataan, sebarang tindakan mempermainkan agama bukan sahaja mencetuskan kebencian dan prasangka, malah berpotensi menggugat perpaduan serta kestabilan negara.

“Kami berpendirian keras dan tidak akan berkompromi terhadap apa jua bentuk provokasi, pelecehan atau penghinaan terhadap agama oleh mana-mana pihak,” tegas jawatankuasa itu.

Dalam masa sama, JK Harmoni menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke atas mana-mana individu yang mencetuskan provokasi berunsur agama.

Tegasnya, keamanan yang dikecapi sekian lama tidak boleh digadaikan hanya kerana emosi, salah faham atau perbezaan pandangan yang sepatutnya diselesaikan secara matang dan berlandaskan undang-undang.

Sehubungan itu, jawatankuasa berkenaan menyeru semua pihak agar kembali ke meja rundingan dan mengutamakan dialog berhemah dalam menyelesaikan sebarang pertikaian.

Menurutnya, setiap isu mempunyai jalan penyelesaian sekiranya ditangani dengan hikmah, rasa tanggungjawab dan semangat saling menghormati.

“Perkukuhkan nilai kebersamaan, saling memahami dan meraikan perbezaan sebagai asas kehidupan bermasyarakat,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan seorang lelaki, Vikneswaran a/l Selvanathan, akan didakwa esok atas dua pertuduhan berhubung kes tular memijak al-Quran.

JK Harmoni menegaskan, keamanan dan keharmonian negara adalah tanggungjawab bersama dan ia tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pihak.

BBerkaitan

Latest articles