Anwar Bentang Had 10 Tahun PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2026 yang mencadangkan had maksimum 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri.

Membacakan rang undang-undang itu untuk kali kedua di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Tambun berkenaan menegaskan pindaan tersebut bukan sekadar perubahan teknikal, sebaliknya langkah berani untuk memperkukuh disiplin Perlembagaan dan memastikan kuasa eksekutif tertinggi tidak lagi bersifat tanpa sempadan.

Menurut beliau, kematangan demokrasi sesebuah negara tidak terletak pada lamanya seseorang individu menguasai tampuk pentadbiran, tetapi pada keutuhan institusi yang mampu menjamin kesinambungan dasar dan kestabilan negara.

“Had tempoh jawatan bukan bertujuan menafikan peluang kepimpinan sesiapa, tetapi memastikan negara dipandu oleh institusi yang kuat dan bukan bergantung kepada individu tertentu,” tegasnya.

Di bawah cadangan pindaan kepada Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, seseorang Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan melebihi 10 tahun secara agregat sama ada secara berterusan atau berselang-seli.

Lebih tegas, peruntukan baharu itu menetapkan bahawa Perdana Menteri hendaklah terhenti jawatan sebaik sahaja genap tempoh tersebut.

Pemberhentian itu turut melibatkan keseluruhan anggota Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, bagi menjamin kelangsungan pentadbiran, Perdana Menteri dan Kabinet yang terhenti jawatan dibenarkan menjalankan fungsi terhad, khususnya urusan pentadbiran harian, sehingga pelantikan Perdana Menteri baharu dibuat.

Tempoh menjalankan fungsi selepas pembubaran Parlimen pula tidak akan diambil kira dalam pengiraan had 10 tahun berkenaan.

Anwar memberi jaminan bahawa pindaan itu tidak mengubah asas sistem demokrasi berparlimen negara.

Ia juga tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong serta tidak mengurangkan peranan Dewan Rakyat dalam menentukan kepercayaan terhadap kerajaan.

Sebaliknya, beliau menegaskan langkah tersebut memperjelaskan struktur perlembagaan dengan memasukkan had tempoh jawatan sebagai satu mekanisme semak dan imbang yang jelas.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan telah mengadakan sesi libat urus menyeluruh melibatkan agensi kerajaan serta pakar perlembagaan sebelum rang undang-undang itu dibentangkan.

Beliau menyeru semua ahli Parlimen agar menyokong pindaan tersebut demi memperkukuh tatakelola dan memastikan kepimpinan negara sentiasa berpaksikan prinsip akauntabiliti.

BBerkaitan

Latest articles