Rafizi Jelaskan Mengapa Tetap Sokong Anwar Jadi PM

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli tampil menjelaskan pendiriannya yang terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga dilantik sebagai Perdana Menteri, walaupun beliau mengakui telah melihat kelemahan kepimpinan Presiden parti itu sejak awal.

Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, sokongan yang diberikan bukanlah berasaskan sentimen peribadi, sebaliknya didorong prinsip keadilan dalam menilai seseorang pemimpin.

Menurutnya, seseorang tidak wajar dijatuhi hukuman hanya berdasarkan persepsi atau jangkaan awal, apatah lagi sebelum individu berkenaan benar-benar diberi kuasa untuk membuktikan kepimpinannya.

“Kita boleh menegur dan memberi pandangan, tetapi penilaian muktamad hanya boleh dibuat apabila sesuatu itu benar-benar berlaku,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bagi menjawab persoalan yang timbul dalam kalangan pemerhati politik yang mempersoalkan mengapa beliau terus berdiri di belakang Anwar, walaupun mendakwa sudah menyedari kelemahan tertentu sejak dahulu.

Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi berkata, selepas Anwar memegang jawatan Perdana Menteri, beliau tetap berusaha memainkan peranan dari dalam kerajaan dengan memberikan teguran dan pandangan secara berterusan.

Beliau menegaskan, selagi ruang nasihat masih terbuka, keputusan boleh dipengaruhi dan kerajaan mampu dipertahankan di hadapan rakyat, teguran akan terus disuarakan.

Namun begitu, keadaan berubah apabila menurutnya ketelusan semakin terhakis, teguran dibalas secara defensif dan proses pentadbiran mula diseleweng untuk memenuhi kehendak pihak tertentu.

Pada ketika itulah, katanya, beliau tidak lagi boleh memilih untuk berdiam diri.

“Bukan saya tidak nampak dari awal. Saya cuma memilih untuk berlaku adil, dan hanya bercakap selepas perkara itu benar-benar berlaku,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles