KUALA LUMPUR: Keprihatinan terhadap golongan gelandangan terus dizahirkan menerusi Program Amal Singgah Berbuka Puasa Gelandangan anjuran Puspanita Cawangan Kecil APM dengan kerjasama CDERT-APM) Team Amal Kazuko, yang berlangsung di sekitar Pasar Seni, Jalan Belia dan Lorong Haji Taib 1, di sini pada Sabtu.
Program yang dilaksanakan menjelang waktu berbuka puasa itu bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya mereka yang berdepan cabaran hidup di kawasan bandar.
Sebanyak 250 pek makanan berbuka puasa diagihkan oleh para sukarelawan sebagai tanda kasih sayang dan keprihatinan sesama insan.
Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil APM, Laili Zulkarnain menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat memandangkan program ini merupakan kerjasama pertama seumpamanya diadakan.
“Terima kasih kepada Team Amal Kazuko kerana sudi bekerjasama buat julung kali pada tahun ini. Insya-Allah, kerjasama ini boleh diteruskan dan dirancang dengan lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan IPPA, Ts. Dr. Mohamad Fazli Sardi; Pegawai Kehormat APM Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Hisham Abdul Wahab; Pengarah APM Wilayah Persekutuan, Mohd Rosman Abdullah; Komandan CDA Team Amal Kazuko, Datin Seri Intan Abdul Hamid serta penceramah bebas, Ustaz Syazwan Jaafar.
Dalam pada itu, Komandan CDA Team Amal Kazuko, Datin Seri Intan Abdul Hamid, menyifatkan program tersebut sebagai platform bermakna untuk menyemai nilai kemanusiaan dan semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat.
“Program seperti ini bukan sekadar mengagihkan makanan, tetapi menjadi ruang untuk kami mendekati golongan gelandangan dengan penuh empati dan rasa hormat. Apa yang lebih membanggakan, program ini bergerak sendiri tanpa dana sesiapa, sepenuhnya hasil usaha sukarelawan yang ikhlas.
“Semoga sedikit sumbangan ini dapat meringankan beban mereka dan membawa keberkatan Ramadan kepada semua,” ujarnya.
Program amal berkenaan bukan sahaja meringankan beban golongan kurang bernasib baik, malah mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta masyarakat setempat dalam menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan sosial, khususnya sepanjang Ramadan.










