JOHOR BAHRU: Dua lelaki warga tempatan hari ini dibawa ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru untuk didakwa berhubung kes penemuan enam rangka manusia di sebuah rumah yang terbakar di kawasan kebun kelapa sawit, Kangkar Pulai, Skudai bulan lalu.
Kedua-dua suspek tiba sekitar jam 9 pagi dengan kawalan ketat polis dan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan.
Menurut polis, siasatan mendapati mangsa terdiri daripada lima sekeluarga dan seorang lelaki dewasa, dipercayai telah meninggal dunia lebih tiga bulan sebelum rangka ditemukan.
Kes terbongkar selepas suami kepada salah seorang mangsa membuat laporan kehilangan pada 9 Januari lalu.
Susulan risikan, empat suspek ditahan pada 21 Januari di sekitar Iskandar Puteri; tiga daripadanya didapati positif dadah dan kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau.










