KUALA LUMPUR: Keputusan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh melepaskan jawatan sebagai EXCO Kerajaan Negeri Melaka terus mencuri perhatian apabila beliau berikrar mahu melahirkan ratusan ribu “Akmal baharu” bagi menggerakkan serangan politik terhadap pihak lawan.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata, tanpa tanggungjawab dalam pentadbiran negeri, beliau kini bebas memberi sepenuh tumpuan untuk memperkukuh jentera parti dan mempersiapkan Pemuda UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya boleh jamin, bila Akmal letak jawatan EXCO, saya akan lahirkan lebih 300,000 ‘Akmal Saleh’ untuk lawan anda,” katanya lantang ketika sesi penggulungan Perhimpunan Pemuda UMNO, disambut sorakan perwakilan.
Menurut beliau, langkah itu bukan gimik politik, sebaliknya strategi jangka panjang bagi memastikan Pemuda UMNO benar-benar bersedia menghadapi pertembungan besar dalam PRU akan datang.
“Kita mesti bersedia dari sekarang. Insya-Allah UMNO akan kembali dominan di negara ini,” katanya.
Terdahulu pada sesi ucapan dasar, Akmal mengumumkan peletakan jawatan sebagai EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka yang akan berkuat kuasa minggu depan, dengan alasan mahu memberi fokus untuk “melawan DAP”.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tetap menghormati keputusan parti untuk terus bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan perpaduan, walaupun sebelum ini lantang menyuarakan kebimbangan terhadap kerjasama itu.
“Saya tidak bercakap kosong tanpa memikirkan masa depan Pemuda. Ini soal persediaan jangka panjang parti,” katanya.
Kenyataan Akmal itu hadir susulan pandangan seorang pemimpin UMNO yang mempersoalkan keperluan beliau melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi berkata, melawan DAP tidak memerlukan komitmen sepenuh masa sehingga terpaksa mengorbankan jawatan EXCO.
“Tidak ada keperluan untuk beliau melepaskan jawatan hanya kerana mahu melawan DAP,” katanya.
Menurut Puad, perjuangan politik boleh diteruskan tanpa menjejaskan tanggungjawab dalam pentadbiran, malah kedudukan dalam kerajaan sepatutnya dimanfaatkan untuk mengukuhkan parti.










