“Ampun Tuanku, Bebaskan Najib” – Rayu Pemuda UMNO Pahang

KUALA LUMPUR: Suasana Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 menjadi emosional apabila wakil Pemuda Pahang secara terbuka merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar memperkenankan pembebasan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, rayuan itu mewakili suara rakyat di Parlimen Pekan yang masih menaruh harapan tinggi terhadap kepimpinan Najib.

“Kami mohon ihsan dan simpati Tuanku agar memberikan kebebasan sepenuhnya kepada pemimpin kami, Datuk Seri Najib Razak.

“Ampun Tuanku, kami sudah habis ikhtiar. Saya sendiri tidak tahu apa lagi yang mampu kami lakukan selain berharap rayuan ini diperkenankan,” katanya ketika menyampaikan perbahasan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau turut mengajak seluruh perwakilan dan ahli UMNO mengenang jasa Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dengan memastikan legasi kepimpinannya terus dipertahankan.

“Semalam genap 50 tahun pemergian Tun Razak. Kita wajib menjaga legasi beliau, termasuk mempertahankan Najib selagi kita ada nyawa dan kudrat. Inilah cara kita membalas jasa Tun Razak kepada UMNO dan negara,” katanya.

Dalam perbahasan berasingan, jurucakap Pemuda UMNO Johor, Fauzi Faizal menggesa ahli parti supaya terus berdoa agar Najib memperoleh pembebasan penuh suatu hari nanti.

“Terlalu besar jasa beliau kepada negara. Hati kita hancur melihat seorang pemimpin yang banyak berjasa terkurung di sebalik jeriji besi.

“Mana mungkin jasa sebesar itu kita padamkan begitu sahaja. Pemuda UMNO Johor akan terus berdiri bersama keluarga ‘Bosku’ dan tidak henti berdoa,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Tebrau.

Dalam perkembangan berkaitan, media sebelum ini melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka mengumumkan pendirian dan langkah UMNO terhadap Najib dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles