SPRM Sita Aset RM11.4 Juta Berkait Siasatan Rasuah Perolehan ATM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas aset bernilai keseluruhan RM11.4 juta melibatkan wang tunai, emas, jam tangan mewah dan kenderaan susulan siasatan kes rasuah serta salah guna kuasa berkaitan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sitaan itu merangkumi wang tunai RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta, sebuah kenderaan jenis Range Rover dianggarkan bernilai RM360,000 serta 26 unit jam tangan mewah bernilai kira-kira RM2.3 juta.

“Kebanyakan jam tangan yang dirampas adalah jenama Rolex dan hasil pengesahan mendapati semuanya adalah tulen,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM, hari ini.

Menurut Azam, SPRM turut menyita barangan kemas bernilai RM294,039, dua cincin perhiasan bernilai RM20,000 dan jongkong emas seberat 3.7 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2.5 juta berdasarkan harga semasa.

Selain itu, satu lagi jongkong emas seberat 150 gram bernilai RM102,000 serta dua dinar emas seberat 8.5 gram bernilai RM5,780 turut dirampas.

Beliau menjelaskan, jumlah keseluruhan sitaan fizikal mencecah RM11.4 juta, manakala 75 akaun syarikat dengan nilai keseluruhan RM32.5 juta telah dibekukan bagi membantu siasatan.

Operasi sitaan dilakukan di dua lokasi utama iaitu sebuah kediaman di Kuala Lumpur dan sebuah lagi di Besut, Terengganu, hasil maklumat risikan yang diperoleh SPRM.

“Pegawai kami terpaksa ke Terengganu sebanyak dua kali bagi mengesan dan mengambil barangan kes ini berdasarkan maklumat yang diterima.

“Barang-barang ini dipamerkan bukan untuk tontonan semata-mata, tetapi sebagai bahan bukti supaya maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat,” tegasnya.

Azam turut menolak dakwaan pihak tertentu yang mengaku sebagai pemberi maklumat sehingga membawa kepada rampasan tersebut.

“Jika ada yang mendakwa mereka membantu atau menyalurkan maklumat, itu tidak benar. Semua ini adalah hasil tindakan risikan pegawai SPRM sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan siasatan masih berjalan dan semua aset yang dirampas akan dijadikan bahan bukti penting sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dalam masa terdekat.

Sementara itu, media sebelum ini melaporkan SPRM mengesan wujudnya penerimaan rasuah secara terancang dalam kalangan pegawai tentera.

Sumber memaklumkan, siasatan turut menumpukan beberapa pegawai yang dipercayai memainkan peranan penting dalam kes berkenaan, selain meneliti kemungkinan kewujudan rangkaian rasuah yang lebih besar dalam agensi terbabit.

BBerkaitan

Latest articles