Ahmad Zahid Tunggu Penjelasan Dr Akmal

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghormati keputusan Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka.

Presiden UMNO itu menyifatkan keputusan Ketua Pemuda UMNO itu sebagai hak peribadi dan pastinya empunya badan mengetahui tindakan yang diambilnya.

Bagaimanapun Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan keputusan Dr Muhamad Akmal itu tidak akan menjejaskan hubungan semasa Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, Dr Muhamad Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka ng berkuatkuasa pada minggu hadapan.

“Saya menghormati pendirian beliau untuk melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka. Mungkin dengan langkah itu beliau mempunyai masa dan ruang mencukupi untuk turun ke akar umbi, terutama ke peringkat Bahagian, memandangkan kita mempunyai 191 Bahagian Pemuda,” katanya yang ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan Bersama Kelab UMNO Luar Negara dan Perwakilan Siswa sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata beliau akan mengadakan pertemuan bersama Dr Muhamad Akmal bagi mendapatkan pejelasan lanjut berhubung pengumuman itu.

Pagi tadi, Dr Muhamad Akmal menegaskan keputusan beliau mempertahankan jawatan di dalam parti adalah langkah penting dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

Sebelum ini DAP Melaka menggesa Dr Muhamad Akmal melepaskan jawatannya di dalam kerajaan negeri sedangkan beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju kerajaan.

Bukan itu sahaja gesaan untuk beliau berundur sebagai Ketua Pemuda UMNO juga mendapat desakan daripada DAPSY selepas Ahmad Zahid menegaskan UMNO akan kekal Bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.

BBerkaitan

Latest articles