KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka mengakui parti itu kini berdepan cabaran besar apabila isu kekurangan peruntukan untuk jentera penerangan sering menjadi keluhan akar umbi.
Menurutnya, keadaan hari ini jauh berbeza berbanding era kepimpinan Datuk Seri Najib Razak apabila UMNO memiliki dana besar untuk menggerakkan jentera di semua peringkat.
“Sekarang orang asyik tanya pasal peruntukan. Nak guna apa? WhatsApp saja. Dulu masa ‘Bossku’ jadi presiden dan perdana menteri, jentera di pusat, negeri sampai bahagian dapat puluhan juta.
“Jentera masa itu mewah, tapi akhirnya kita tetap kalah. Maknanya, duit penting, tapi duit bukan segala-galanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Politik Era Digital 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Ahmad Zahid menegaskan UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan bertahan, sebaliknya perlu beralih kepada strategi menyerang bagi mempertahankan parti.
“Kita terlalu lama main bertahan. Bila orang serang, kita tak lawan. Sebab itu kita tenggelam,” tegasnya.
Menurut beliau, walaupun tidak aktif mengendalikan sendiri semua platform media sosial, satu pasukan khas digerakkan bagi memastikan UMNO lebih agresif dalam medan digital.
“Saya mungkin tak buat semua sendiri, tapi ada pasukan yang bantu. Kita mesti berubah, kalau tidak, kita akan terus ketinggalan,” katanya.










