Isu UMNO-PAS: Dalam Politik Apa Pun Boleh Berlaku

KUALA LUMPUR: Politik Malaysia kembali bergegar apabila UMNO memberi isyarat jelas bahawa pintu kerjasama dengan PAS tidak pernah dikunci rapat.

Di tengah ketegangan pakatan sedia ada dan spekulasi menjelang PRU akan datang, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa hubungan dengan PAS bukan isu “haram” atau mutlak, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada realiti dan keperluan politik semasa.

Menurutnya, walaupun hubungan UMNO–PAS pernah ‘retak’, itu tidak bermakna kedua-dua parti mustahil duduk semeja semula.

“Dalam politik, apa-apa boleh berlaku. Presiden sendiri kata jangan tutup pintu rapat-rapat, tapi jangan juga buka luas-luas. Maksudnya, kerjasama dengan PAS bukan sesuatu yang diharamkan, ia bergantung kepada situasi,” katanya sempena Persidangan Agung UMNO 2025.

Beliau mengakui pengalaman lalu menjadi pengajaran dan UMNO tidak mahu ‘tertipu dua kali’, namun pintu rundingan tidak wajar dikunci.

Mengulas desakan supaya menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), Wan Rosdy berkata, kepimpinan kini lebih berhati-hati dan tidak mahu mengulangi kesilapan lama.

Berhubung kenyataan Ketua Pemuda UMNO yang mahu parti keluar dari Kerajaan Perpaduan, beliau menegaskan itu hanyalah pandangan individu dan bukan pendirian rasmi parti.

Wan Rosdy menegaskan UMNO mesti berada dalam kerajaan jika mahu benar-benar membantu rakyat.

“Kalau di luar kerajaan, kita tiada kuasa, tiada peruntukan, tiada platform. Kita cuma boleh bercakap, tapi tak boleh buat apa-apa. Nak tolong rakyat, UMNO mesti ada kuasa,” tegasnya.

Beliau turut memetik data PAU 2025 yang menunjukkan tiada satu pun usul mencadangkan UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan, membuktikan akar umbi semakin faham dan menerima realiti politik semasa.

BBerkaitan

Latest articles