KUALA LUMPUR,— Penulis dan penganalisis politik, Murray Hunter, telah mengemukakan satu permohonan maaf awam serta penarikan balik sepenuhnya terhadap beberapa artikel dan kenyataan yang diterbitkannya sebelum ini berkaitan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut dokumen Public Apology and Retraction bertarikh 13 Januari 2026, Hunter mengakui bahawa komen serta artikel yang diterbitkan melalui beberapa platform termasuk Substack, Eurasia Review dan akaun media sosial X miliknya boleh ditafsirkan sebagai tidak tepat, mengelirukan serta berpotensi menimbulkan salah faham terhadap MCMC dan individu berkaitan.
Beliau turut menyatakan kekesalan sekiranya penerbitan berkenaan telah menyebabkan sebarang kerosakan terhadap reputasi MCMC atau pihak-pihak lain yang terlibat, selain mengesahkan bahawa semua kenyataan dan artikel berkenaan ditarik balik sepenuhnya.
Dokumen tersebut menyenaraikan beberapa artikel yang diterbitkan sepanjang April hingga November 2024, antaranya tulisan berkaitan dakwaan salah guna kuasa, sekatan akses kandungan serta kritikan terhadap peranan MCMC dan kepimpinan negara, yang kini semuanya dirujuk sebagai sebahagian daripada penyelesaian undang-undang yang dicapai.
Permohonan maaf dan penarikan balik itu dibuat susulan satu perjanjian penyelesaian dalam tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Malaya, selain turut melibatkan prosiding berkaitan di Thailand, seperti yang dinyatakan dalam dokumen berkenaan.
Hunter menegaskan bahawa langkah berkenaan adalah sebahagian daripada komitmennya untuk mematuhi terma penyelesaian yang telah dipersetujui bersama pihak berkuasa berkaitan.










