Polis Janji Siasat Secara Telus Kes Anggota Tampar Lelaki Di Stesen Minyak

JOHOR BAHRU: Polis memberi jaminan siasatan berhubung kes seorang anggota polis yang didakwa menampar seorang lelaki dipercayai mat rempit di sebuah stesen minyak di Taman Perling, kelmarin, akan dijalankan secara telus dan berintegriti.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya akan memastikan siasatan dibuat secara adil tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut serta mengalu-alukan kerjasama mana-mana individu yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Menurut beliau, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun telah membuat laporan polis pada jam 6.17 petang semalam dengan mendakwa dirinya ditampar oleh anggota polis terbabit di stesen minyak berkenaan.

“Mangsa juga memaklumkan dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara bagi tujuan pemeriksaan lanjut terhadap motosikal miliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad menjelaskan bahawa tindakan anggota polis berpangkat konstabel itu dipercayai berlaku secara spontan selepas mangsa didakwa cuba melarikan diri.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, dan ketika insiden berlaku, anggota polis terbabit sedang menjalankan tugas dalam operasi membanteras aktiviti mat rempit di kawasan sekitar.

Menurutnya lagi, walaupun anggota berkenaan pada asalnya sedang bercuti, rekod menunjukkan dia telah dipanggil untuk membantu operasi khas pada hari kejadian.

Sebelum ini, rakaman video kejadian tersebut tular di media sosial sejak kelmarin dan mengundang pelbagai reaksi serta kritikan daripada netizen yang tidak berpuas hati dengan tindakan anggota polis berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles