Fitnah Kristianisasi: Hannah Yeoh Menang, Bekas IGP Diarah Bayar RM310,000

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berjaya membalikkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuannya berhubung saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Azimah Omar, yang kini berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah tersalah arah apabila menolak saman tersebut pada 2024.

Turut bersidang ialah Hakim Choo Kah Sing dan Hakim Shahnaz Sulaiman.

Mahkamah seterusnya memerintahkan Musa membayar ganti rugi berjumlah RM250,000 serta kos guaman RM60,000 kepada Ahli Parlimen Segambut itu.

Saman berkenaan difailkan pada 2020, susulan kenyataan Musa dalam satu forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mendakwa buku autobiografi Yeoh, Becoming Hannah, kononnya mempunyai agenda untuk mengkristiankan Malaysia.

Dalam kenyataan sama, Musa turut menuduh Yeoh mempunyai kaitan dengan mubaligh Kristian dan Yahudi serta cuba menjejaskan kedudukan agama Islam dan negara, selain mengutamakan kepentingan peribadi.

Autobiografi Yeoh bagaimanapun menceritakan perjalanan hidupnya sebagai wanita Malaysia biasa yang dipengaruhi oleh kepercayaan Kristian sebelum terjun ke dunia politik.

Yeoh diwakili peguam Lim Wei Jiet, Razlan Hadri Zulkifli, Datuk S Ambiga dan Sangeet Kaur Deo, manakala Musa diwakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Sebelum ini, pada 23 Disember 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman tersebut selepas memutuskan Yeoh gagal membuktikan kenyataan Musa sebagai fitnah.

BBerkaitan

Latest articles