KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), sambil menegaskan parti itu tidak terlibat dalam penyingkiran Menteri Besar Perlis daripada PAS.
Muhyiddin berkata, pertukaran menteri besar berlaku kerana keputusan Raja Perlis yang wajib dihormati, bukan kerana tindakan Bersatu.
“Bersatu tidak mengkhianati sesiapa. Kami tidak terlibat langsung dalam usaha menjatuhkan PAS,” katanya selepas mesyuarat MPT yang berlangsung lebih empat jam.
Krisis Perlis sebelum ini menyaksikan lapan Adun PN menarik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli, sebelum Abu Bakar Hamzah dari Bersatu dilantik sebagai menteri besar baharu. Tiga Adun PAS yang menandatangani akuan berkanun kemudian dipecat parti.
Muhyiddin berkata, MPT menghormati keputusannya melepaskan jawatan Pengerusi PN, namun keputusan muktamad akan ditentukan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
Beliau turut mengesahkan PAS belum mengemukakan sebarang nama untuk menggantikan jawatan itu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali, berkata parti itu menjunjung titah Raja Perlis dan akan terus menyokong pentadbiran negeri demi kepentingan rakyat.










